Tree Top Walk Taman Negara Pahang Sungai Relau, Merapoh kini telah dibuka kepada umum. Jangan lepaskan pengalaman untuk merasai berjalan di atas laluan kanopi setinggi 25 meter dan panjangnya sejauh 600 meter. Hayatilah keindahan alam semulajadi dengan melihat pelbagai jenis pokok dan hidupan liar yang terdapat di dalam kawasan taman negara ini. 

Jarak lokasi Tree Top Walk Sungai Relau ini dari bandar Kuala Lipis hanyalah 70 kilometer. Terletak di utara dalam negeri Pahang, ianya berhampiran dengan sempadan negeri Kelantan.

Sebarang pertanyaan dan maklumat sila hubungi alamat dibawah atau klik disini : 


Penguasa / Superintendant of Taman Negara Pahang Sungai Relau, Merapoh, Sungai Relau, Merapoh 27210 Kuala Lipis, Pahang 

 

Sumber : Dipetik dan diubahsuai dari https://www.wildlife.gov.my

Jeram Besu terdapat di kawasan aliran Sungai Lipis. Merupakan destinasi yang agak menarik untuk dikunjungi bagi yang meminati aktiviti luar. Terletak 6km dari pekan Benta dan lebih kurang 30km dari bandar Raub. Pusat rekreasi ini sangat mudah untuk dikunjungi kerana lokasinya hanyalah di tepi jalanraya (Central Spine Road) yang menjadi laluan utama kenderaan untuk ke Kuala Lumpur mahupun ke Kelantan. Jeram Besu merupakan satu kawasan rekreasi bagi penggemar aktiviti lasak dan mencabar seperti berkanu, berakit, berjalan dalam hutan, berkhemah dan banyak lagi. Sehubungan dengan itu, kawasan rekreasi Jeram Besu juga menyediakan kemudahan kepada pengunjung seperti rumah rehat, kanu, gerai makan dan lain lain kemudahan lagi.

PELANCONGAN

Lipis, daerah ketiga terbesar di Pahang selepas Jerantut dan Rompin, mempunyai keluasan 527,861 hektar. Sebahagian kawasannya dilitupi alam semula jadi hutan simpan, kawasan hidupan liar, air terjun, jeram, tasik, gua dan gunung.


Pegawai Daerah Lipis, Datuk Abu Jamal Nordin menyatakan Lipis mempunyai pelbagai produk pelancongan termasuk bangunan bersejarah yang dibina pada akhir 1880-an sehingga 1900 pada zaman pemerintahan British.

Terdapat 14 bangunan bersejarah di Lipis antaranya bangunan pentadbiran Daerah Lipis dibina pada 1919, Sekolah Menengah Clifford pada 1913, pejabat pos 1910, rumah kediaman bekas Setiausaha Kerajaan dan Masjid Negeri pada 1888 yang masih kekal yang dihasilkan oleh arkitek tempatan, Cina, India dan Arab.

Kuala Lipis mempunyai banyak bangunan dengan seni bina menarik yang boleh dijadikan produk pelancongan. Antaranya adalah :

MASJID NEGERI (MADRASATHUL FIRDAUS)

Masjid Negeri yang juga dikenali sebagai Madrasathul Firdaus merupakan bangunan tertua di bandar Kuala Lipis dan dibina pada tahun 1888 oleh saudagar Arab Yaman yang bernama Habib Hassan. Reka bentuknya mempunyai identiti seni bina Melayu Nusantara dan persamaan pada pengaruh Minangkabau.

Keistimewaan Masjid Negeri itu ialah ia tidak pernah ditenggelami banjir walaupun Kuala Lipis beberapa kali dilanda banjir besar.

Walaupun kedudukannya di tebing Sungai Jelai, Masjid Negeri ini tidak terjejas semasa banjir besar melanda pada tahun 1971.

 

MASJID NEGERI (MADRASATHUL FIRDAUS)

BANGUNAN BEKAS SUK PAHANG

Sebuah rumah bekas kediaman Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur. Terletak di atas Bukit Bius, Kuala Lipis. Disinilah tempat lahir Perdana Menteri Keenam Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak. Rumah bersejarah ini siap dibina pada tahun 1920 dan pernah menjadi kediaman rasmi Menteri Besar Pahang. Bapa Datuk Seri Najib, allahyarham Tun Abdul Razak Hussien pernah tinggal disini semasa menjadi setiausaha Kerajaan Pahang. Manakala bidan kerajaan Hospital Lipis telah menyambut Datuk Seri Najib semasa di lahirkan di rumah ini.

BANGUNAN BEKAS SUK PAHANG

BANGUNAN SUK PAHANG

PAHANG CLUB

Pahang Club, sebuah daripada bangunan jajahan yang terawal dibina di Pahang. Penjajah British membina bangunan itu pada tahun 1907 sebagai kediaman Hugh Clifford yang pada ketika itu memegang jawatan Suprintenden Ulu Pahang yang menetap di Kuala Lipis.

Residen British itu berpindah ke Rumah Residensi pada tahun 1922, rumah kelab itu didiami Inspektor Polis British negeri hingga tahun 1926.

Pada pertengahan tahun 1926, rumah kelab ini ditinggalkan dan kemudian kerajaan Inggeris menjadikan rumah itu sebagai kelab khas untuk pegawai-pegawai tinggi British.

Pada tahun 1957, keanggotaan kelab ialah hanya untuk orang kenamaan, orang British dan pegawai tinggi kerajaan, tetapi selepas negara mencapai kemerdekaan, keanggotaannya dibuka kepada semua termasuk rakyat tempatan.

BANGUNAN PAHANG CLUB

PEJABAT POS

Keunikan bangunan Pejabat Pos Kuala Lipis ialah ia berbentuk bersegi dan bersifat simeteri di mana terdapat sebuah tangga yang berbentuk geometri di bahagian belakangnya.

Pejabat pos yang dibina pada 1910 itu mempunyai keunikan pada bumbung, tingkap dan tangga dan menjalani pelbagai pengubahsuaian hinggalah dinaik taraf pada 2002.

Satu lagi tempat bersejarah yang unik di Lipis ialah batu bertanda kosong yang terletak berdekatan Pejabat Pos di tengah-tengah bandar Kuala Lipis.

Batu yang yang terletak di tepi jalan utama Lipis-Jerantut, menandakan permulaan sukatan jarak bagi negeri Pahang, di mana perkiraan kosong bermula dari Kuala Lipis.

Batu itu dipercayai merupakan pusat bagi Semenanjung Malaysia jika diukur dari satu sudut Garis Pusat.

Bagaimanapun Jabatan Ukur Dan Pemetaan mengesahkan Batu GPS (Global Positioning System) merupakan batu tanda pengukuran yang digunakan oleh jabatan itu.

PEJABAT POS KUALA LIPIS

BATU BERTANDA KOSONG (PERMULAAN)

SEKOLAH MENENGAH CLIFFORD

Sekolah Menengah Clifford,merupakan sekolah Dato ‘ Siti Nurhaliza semasa remaja, yang pada mulanya dikenali sebagai Government English School.

Sekolah itu dibuka pada tahun 1913 dan dinamakan sempena Sir Hugh Clifford, bekas residen British Pahang yang merasmikan sekolah itu pada 1929.

Nama Sekolah Menengah Clifford juga tercatat dalam sejarah sebagai sekolah yang pertama mengadakan School Certificate Class dalam tahun 1936.

Sekolah Menengah Clifford diisytiharkan Kementerian Pelajaran sebagai sebuah daripada sekolah utama di Malaysia pada tahun 1996. Setahun kemudian menjadi perintis Sekolah Indera Shahbandar Pahang yang mengambil pelajar terpilih tingkatan 4 terpilih dari Sekolah Menengah Clifford.

Di zaman pemerintahan Jepun, sekolah ini dijadikan markas tentera Jepun dan Ibu pejabat Kempetai. Rombongan media turut dibawa melawat sebuah bilik darjah yang pernah dijadikan sebagai bilik tahanan dan penyeksaan sebelum tahanan dikatakan dihantar ke Melaka.

Kini bilik itu dijadikan bilik darjah pelajar Tingkatan Enam.

SEKOLAH MENENGAH CLIFFORD

BILIK DARJAH PELAJAR TINGKATAN ENAM

BANGUNAN PEJABAT SEKOLAH MENENGAH CLIFFORD

STESEN KERETA API KUALA LIPIS

Perkhidmatan kereta api yang mula beroperasi pada tahun 1926, merupakan jalan darat yang pertama diperkenal di Kuala Lipis di mana sebagai permulaan ia hanya menghubungkan Kuala Lipis ke Johor Baharu di selatan, Chegar Perah di utara dan ke Tumpat, Kelantan.

Ketika zaman pendudukan Jepun dahulu, landasan kereta api yang dibina pada 1920 oleh kerajaan British digunakan sebagai laluan untuk mengangkut tentera Jepun ke Selatan untuk menawan Singapura.

Selain ia penting sebagai pengangkutan utama penduduk setempat, sebahagian besar hasil ekonomi daerah Lipis juga disalurkan melalui perkhidmatan ini seperti emas dan bijih.

STESEN KERETA API KUALA LIPIS